Skuad bola keranjang wanita negara meletakkan harapan kepada pengalaman barisan emas Singapura 2015 untuk memacu misi Kita Juara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malaysia, yang akan beraksi dalam saingan jemputan di Taiwan bagi merebut Piala Belia menentang pasukan bertaraf universiti bermula 25 Julai ini, turut menyenaraikan kapten, Izzati Yaakob, dan tonggak pertahanan, R. Kalaimathi.

Ketua jurulatih skuad negara, Yoong Sze Yuin, menyenaraikan 15 pemain bagi kempen di Taiwan dengan harapan untuk memperkukuhkan slot baki dua pemain.

"Seramai 15 pemain ke Taiwan dan masih mempunyai tiga slot untuk direbut oleh semua pemain," kata Sze Yuin.

Dalam masa sama, pengendali itu sedar bahawa kemenangan dalam apa jua perlawanan akan menawarkan keyakinan berbeza apabila bermulanya kempen nanti.

"Ini merupakan salah satu medan ujian dan keputusan bukan satu kepentingan sebaliknya prestasi menjadi ukuran utama untuk dipilih ke Sukan SEA," tambahnya.