"Pengalaman yang berbeza buat kami". Itu suasana yang dilalui dua atlet negara, Azizulhasni Awang serta Cheong Jun Hoong, selepas menjadi antara sebahagian daripada kontinjen negara yang diberikan penghormatan menyertai perarakan sempena sambutan hari kebangsaan, hari ini.

Ini bukan kali pertama Azizulhasni serta Jun Hoong dibawa berarak di Dataran Merdeka.

Tahun lalu, mereka melalui suasana yang serupa selepas kejayaan meraih pingat dalam Sukan Olimpik Rio apabila disambut ribuan penyokong sepanjang Dataran Merdeka.

Kali ini mereka sekali lagi mendapat peluang itu bersama hampir 300 atlet dan pegawai negara yang terlibat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara.

"Ia memiliki semangat kenegaraan yang tinggi untuk kami hadir berarak di Dataran Merdeka," kata Azizulhasni.

"Perasaan saya sangat gembira kerana dapat menyaksikan ramai yang hadir ke Dataran Merdeka. Seluruh kontinjen Malaysia telah memberikan yang terbaik," kata Jun Hoong.

"Semua atlet yang bertanding dalam Sukan SEA telah mengerah keringat mereka. Tetapi demi rakyat Malaysia, mereka berarak di Dataran Merdeka sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan sepanjang Sukan SEA," kata chef-de-mission (CDM), Datuk Marina Chin.

Dalam pada itu, kesemua atlet negara sudahpun mendaftar keluar dari hotel penginapan mereka di Kuala Lumpur.

Sejumlah besar atlet sudahpun diberi pelepasan untuk keluar lebih awal sejurus berakhirnya majlis penutup, semalam.

Selama hampir tiga minggu mereka "berkampung" di hotel berkenaan dengan pelbagai kemudahan disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), serta teknologi sukan terkini daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Kredit imej: Atlet Malaysia