Chef-de-mission kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin, melahirkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan atlet negara selepas menyaksikan Malaysia meraih 145 pingat emas untuk mengungguli senarai negara bertanding dalam temasya itu.

Jelasnya, pemilihan atlet berbakat bagi mengikuti program Kita Juara yang diwujudkan sejak 2015 turut menjadi pencetus kepada pencapaian itu.

"Persediaan atlet cukup mantap kerana sebaik kita tahu kita bakal menganjurkan kejohanan kali ini, kita terus mewujudkan program Kita Juara. Progam itu dapat mengenal pasti mereka yang berbakat dengan bilangannya yang agak besar.

"Mereka melalui latihan fasa satu dan selepas itu mengecilkan jumlah atlet di samping membuat penukaran atlet selepas mencapai fasa tiga.

"Bagi saya, faktor paling penting adalah pengorbanan dan komitmen atlet sendiri dalam program itu di samping mendapat bantuan daripada banyak pihak, antaranya MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan MASOC (Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur) yang bijak membuat pemilihan acara."

Beliau berkata demikian ketika hadir bersama Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail, dalam temubual khas Astro Arena di Pusat Penyiaran Antarabangsa, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Mengulas lanjut, Marina menegaskan sebagai tuan rumah, sokongan peminat tempatan memainkan peranan penting bagi mendorong kejayaan seseorang atlet.

"Memang sokongan daripada peminat sukan tanah air memberi semangat yang sangat kuat terhadap atlet kita. Kebanyakan daripada mereka datang daripada ahli keluarga dan sahabat, malah ada yang tidak kenal juga memberi sokongan."

Malaysia muncul juara keseluruhan dengan menghimpunkan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk meninggalkan Thailand yang berada di tempat kedua (72 emas, 86 perak dan 88 gangsa) dan Vietnam (58 emas, 50 perak, 60 gangsa) di tangga ketiga.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 dan muncul juara keseluruhan apabila kontinjen negara meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.