Biarpun tidak diletakkan harapan tinggi dan diramal hanya memenangi satu pingat perak sahaja, skuad tinju negara mempunyai alasan kukuh untuk berpesta riang dalam temasya Sukan SEA kali ini.

Ini kerana pasukan itu berjaya menukarkan prospek perak Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum itu kepada emas sambil menambahnya dengan satu perak dan satu gangsa, dalam aksi yang sewajarnya dipuji.

"Saya gembira. Saya amat puas hati dan saya berharap kita akan dapat melangkah lebih jauh lagi selepas ini.

Jelasnya, kejayaan ini menamatkan penantian 12 tahun skuad tinju negara untuk pingat emas.

"Lebih membanggakan saya, peninju-peninju kita telah memberikan saingan yang sengit kepada peninju-peninju bertaraf Olimpik dari Thailand dan Filipina," kata pengurus pasukan negara, Datuk Rahman Lariwoo.

Pingat emas negara disumbangkan oleh Mohd Fuad Redzuan dalam acara Light Flyweight apabila menewaskan peninju Thailand, Thani Narinram.

Sementara itu, pingat perak dimenangi Adli Hafidz Mohd Fauzi yang beraksi untuk kategori Light Heavyweight.

Abdul Rahman yang juga Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA) ditemui dalam sidang media bagi mengumumkan penganjuran Kejohanan Golden Glove 2017 yang akan diadakan di Sibu pada November depan.

Seramai 100 peserta mewakili 13 pasukan dari seluruh negara dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, yang turut menjadi gelanggang untuk mengesan bakat bagi mewakili Sarawak ke kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Perak pada tahun hadapan.