Skuad snuker dan biliard negara menamatkan cabaran dengan tiga pingat gangsa secara keseluruhan dalam temasya KL2017, sekaligus menyaksikan mereka kempunan untuk mencapai sasaran satu emas.

Susulan kejayaan dua tahun lalu di Singapura yang menyaksikan skuad negara meraih dua emas, rentak itu dijangka dapat dikekalkan dalam temasya kali ini.

Begitupun, hasrat Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) tidak menjadi kenyataan dengan tumbangnya Thor Chuan Leong dalam acara snuker perseorangan.

Hanya gangsa menjadi pengubat duka buat Chuan Leong apabila gandingannya bersama Moh Keen Hoo kandas dalam separuh akhir kepada Indonesia.

Sementara itu, dua lagi gangsa disumbangkan oleh pemain pool 9 bola wanita menerusi Suhana Dewi Sabtu serta Klaudia Djajalie selepas cabaran mereka tersekat dalam separuh akhir.

Suhana tumpas kepada pemain Filipina, Rubilen Amit, dengan keputusan 7-1 manakala Klaudia gagal mengatasi seorang lagi wakil Filipina, Chezka Centeno, yang melakar kemenangan 7-2.

"Bagi saya, ia sangat bermakna kerana ini pingat pertama saya.

"Saya akan menyertai beberapa kejohanan kecil dan selepas ini akan fokus terhadap kerjaya," ujar Klaudia.

Kejayaan mereka, bagaimanapun, sedikit menggembirakan kerana kali terakhir bahagian wanita meraih pingat adalah dalam edisi 2005 Manila, ketika itu Suhana raih perak dalam perseorangan pool 9 bola wanita.

"Ia membawa makna besar kepada kami kerana kami bekerja keras untuk pingat ini.

"Kami juga tidak meletakkan sasaran besar jika dibandingkan dengan aksi di Singapura, ini pencapaian yang terbaik," kata Suhana.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.