Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold, bertekad untuk memberi aksi terbaik dalam saingan perseorangan dan juga beregu dalam usaha membantu pungutan emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur kali ini.

Juara bertahan perseorangan wanita di Singapura dua tahun lalu ini tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir beregu wanita.

Bergandingan dengan Andrea Lee, pasangan negara ini mudah menewaskan gandingan Thailand, Anantana Prasertrsnakuk dan Panisa Suwanrat, 11-4, 11-6 dalam suku akhir.

"Saya memang mahu mempertahankan pingat emas, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Kedua-dua acara (perseorangan dan beregu) amat penting. Tetapi buat masa ini saya akan berikan tumpuan dalam acara beregu," ujar Rachel.

Turut ke separuh akhir, satu lagi pasangan negara, Nazihah Harris dan Chan Yiwen yang menewaskan wakil Indonesia, Catur Yuliana dan Riduri Maulinda Arnasty, 11-5 11-7.

Biarpun melepasi saingan suku akhir, Nazihah mengakui dia dan Yi Wen masih perlu meningkatkan permainan mereka.

"Ketika dalam set pertama, kami ketinggalan 6-2, kami agak gementar ketika itu sebelum bangkit untuk memenangi perlawanan.

"Ketika itu kami sedar apa sahaja boleh berlaku tidak kira walaupun pihak lawan menduduki ranking lebih rendah," jelas Nazihah.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.