Dua pingat emas sudah pun dalam genggaman pasukan skuasy negara menerusi saingan perseorangan lelaki dan wanita dalam Sukan SEA Ke-29.

Rachel Arnold akan mempertahankan emas menentang S. Sivasangari sementara Ng Eain Yow akan berentap dengan Syafiq Kamal dalam final individu di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, esok.

Rachel, yang mahu mengulangi pencapaiannya di Singapura dua tahun lalu, menundukkan pemain Singapura, S. Sneha, dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Rachel mengesahkan kemaraan ke final apabila melengkapkan kemenangan straight set 11-5, 11-6 ke atas lawannya itu.

Sivasangari pula, pilihan pertama dalam temasya ini, dipaksa mengerah keringat menentang perseorangan Filipina, Jamyca Aribado.

Pada dua set pertama, dia menang mudah 11-2, 11-5 tetapi diasak hebat Aribado yang mahu mengelak tewas straight set. Hanya pada penghujung set, Sivasangari menjarakkan diri untuk menang 11-9.

"Rachel bukan seorang lawan yang mudah. Kami berlatih bersama-sama dan mengenali gaya permainan masing-masing. Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk meraih kemenangan," kata Sivasangari.

Skuad lelaki turut mengikut jejak langkah rakan skuad wanita bermula dengan Syafiq yang berdepan tentangan Samuel Kang dari singapura.

Ternyata Kang bukan lawan mudah buat Syafiq yang merampas dua set pertama 12-10 dan 11-6.

Kang melengahkan kemenangan mutlak Syafiq apabila menang set ketiga 11-3, namun senario itu hanya memaksa Syafiq bangkit mengesahkan kemaraan ke final dengan catatan 11-1.

Eain Yow meniti laluan lebih selesa untuk ke final berdepan perseorangan Filipina, Robert Andrew Garcia.

Wakil Malaysia ini merekodkan kemenangan straight set 11-5, 13-11, 11-6 dan kemudian berkongsi pandangan mengenai pertemuan dengan Syafiq, esok.

"Saya akan cuba memberikan permainan terbaik untuk berdepan mana-mana pemain," kata Eain Yow.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.