Skuad silat negara mempamerkan dominasi dalam bahagian tanding apabila menambah tiga lagi emas dalam sesi terakhir pada sebelah petang, antaranya menerusi Mohd Fauzi Khalid dalam pertarungan putera kelas F.

Mohd Fauzi menebus kekalahannya dalam temasya Singapura 2015 dengan mempamerkan aksi cemerlang apabila mudah menewaskan lawan dari Vietnam, Tran Dinh Nam, 5-0 untuk merangkul emas.

"Alhamdulillah dengan kemenangan ini. Saingan agak sengit berdepan lawan Vietnam kerana pertembungan agak teknikal,” kata Fauzi.

"Saya tidak menjangkakan dapat menyumbang emas ini. Bagi saya, ia adalah hasil semangat daripada sahabat-sahabat saya yang lain. Apa yang berlaku terhadap Razak menyuntik semangat saya untuk beraksi lebih baik.

"Bagi saya, semua pesilat perlu bersikap profesional. Tidak sepatutnya insiden itu berlaku kerana pesilat Thailand itu mengetahui tindakannya salah.

"Ini Sukan SEA terakhir saya, (namun) jika Pesaka memerlukan khidtmat saya, saya akan teruskan," tambahnya.

Sementara itu, juara dunia puteri kelas E, Siti Rahmah Mohamed Nasir, menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan emas acara berkenaan dengan menewaskan peserta Indonesi, dengan keputusan 5-0.

Bekas atlet taekwondo ini, bagaimanapun, mengharungi detik sukar sejak pertarungan separuh akhir pada Sabtu lalu.

Ini kerana adik bongsunya, Uthman Mohamed Nasir, ditimpa kemalangan jalanraya dan Siti Rahmah diberi pelepasan untuk melawatnya di Hospital Sungai Buloh.

Kemenangan ini amat istimewa buat Siti Rahmah dalam penampilan terakhirnya di pentas Sukan SEA.

"Alhamdulillah, semuanya sudah berakhir. Alhamdulillah dapat pertahankan pingat emas. Hari ini bukan persembahan terbaik saya,” kata Siti Rahmah.

Muhammad Robial Sobri turut cemerlang dengan memperoleh emas kategori putera H selepas menewaskan pencabar dari Vietnam yang juga juara edisi 2013, Le Si Kien.

Kejayaan Robial ini juga mengatasi pencapaiannya dua tahun lalu di Singapura apabila ketika itu dia sekadar meraih pingat perak.

"Saya yakin rezeki itu milik saya. Saya pun mudah berlawan dengan dia, cuma saya alami sedikit kecederaan. Sebelum ini berlawan dengan pesilat Vietnam, kaki saya dah patah. Alang-alang dah patah tu saya habiskan terus," kata Robial.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.