Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, menepati ramalan untuk meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur di Stadium Bukit Kiara, sebentar tadi.

Mohd Al-Jufferi melangkah ke peringkat akhir putera kelas E selepas menewaskan pesilat Thailand, Kuibrohem Kubaha, dengan kiraan mata 5-0.

Berbekalkan status juara dunia, Al-Jufferi mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih kemenangan 5-0 ke atas lawannya, Pham Tuan Anh dari Vietnam, dalam final.

"Sebelum masuk ke final, saya memiliki sedikit perasaan gemuruh kerana saya tidak selesa apabila tidak melakukan sesi pemanas badan dengan baik. Alhamdulilah, saya terus tenang dan dapat menguasai perlawanan," kata Al-Jufferi.

"Jadi diikutkan, saya hampir mengikut rentak permainan yang dilakukan oleh lawan saya.

Kemenangan ini membuktikan Al-Jufferi sukar ditandingi apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi buat kali ketiga berturut-turut sejak temasya Jakarta/Palembang 2011.

"Ini merupakan emas keempat saya, saya berasa bangga dengan ibu saya. Dia tidak dapat hadir hari ini kerana sakit, selepas dia mendengar berita saya meraih emas, insyaAllah dia akan lebih bersemangat."

Razak Ghazali turut menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara putera kelas D apabila kemenangan percuma diberikan selepas lawannya, Pornteb Poolkaew dari Thailand, melakukan tendangan yang melanggar peraturan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: Twitter @AtletMalaysia