Skuad silat negara melepasi sasaran dengan persembahan yang cukup cemerlang dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas merangkul 10 pingat emas, dua perak serta empat gangsa.

Secara keseluruhan, silat menyaksikan 20 pingat emas menjadi rebutan, enam daripadanya untuk seni dan baki 14 lagi membabitkan acara tanding.

Diletakkan sasaran awal lapan emas, skuad negara bermula baik dengan pungutan emas bahagian seni menerusi ganda putera dan puteri sebelum disusuli dengan satu lagi emas daripada jurus tunggal putera sebelum gelanggang akhir tanding dibuka.

Juara dunia, Mohd Al Juffrey Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, tidak mengecewakan apabila mengungguli acara masing-masing.

Buat ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, kejayaan ini merupakan hasil daripada kerja keras yang dilakar anak didiknya sejak Kejohanan Dunia di Bali, Disember tahun lalu.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi pesilat. Ini bermakna mereka atlet yang berdedikasi dan berdisiplin berdasarkan latihan yang dijalankan," ujarnya.

Saingan Kuala Lumpur 2017 juga bakal menyaksikan pembabitan terakhir buat beberapa pesilat negara dalam temasya dwitahunan itu.

"Ini Sukan SEA yang terakhir. Untuk Sukan Asia, insya-Allah saya akan bertanding. Doakan segala-galanya berjalan dengan lancar. Saya mahu mengakhiri karier dalam Sukan Asia,” kata Siti Rahmah.

"Kemungkinan akan ada pesilat kita yang bersara. Daripada segi pengganti, saya dimaklumkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sudah menyediakan pelapis.

"Bagi saya, itu satu program yang sangat baik bagi masa depan silat negara," tambah Nasri.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.