Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berhasrat untuk mengekalkan momentum prestasinya bagi menghadapi Kejohanan Piala Asia di Bangkok, dari 6 hingga 8 Oktober ini.

Ia sebagai persiapan untuk menyertai dua Siri Piala Dunia selepas dia meraih dua pingat perak dalam penyertaan sulungnya dalam Sukan SEA menerusi acara pecut dan 1 kilometer ujian masa pada minggu lalu.

Menganggap dua pingat itu sebagai pencapaian yang memuaskan, Shah Firdaus kini fokus bagi memastikan lebih kejayaan dapat dilakar, terutama bagi Siri Piala Dunia Poland pada hujung bulan depan dan di Manchester pada November.

"Saya meraih pingat perak tetapi saya tidak menganggap ia sebagai kegagalan kerana saya masih baru dan masih belajar. Yang penting, saya sangat berpuas hati dengan persembahan saya sebab saya telah memberikan yang terbaik.

"Sebelum Piala Dunia, saya ada Piala Asia untuk mendapatkan mata. Jadi, inilah kejohanan terbesar selepas Sukan SEA," katanya.

Sementara itu, pengganti Shah Firdaus dalam saingan keirin dalam Sukan SEA, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin, juga menyasarkan satu lagi persembahan konsisten dapat dipamerkan dalam saingan Piala Asia nanti.

Dia dijangka akan terus membawa cabaran bagi acara pecut berpasukan.

"Saya bangga dengan pencapaian satu emas dan satu perak dalam Sukan SEA. Emas diperoleh daripada acara pecut berpasukan dan perak daripada keirin bersama Azizulhasni Awang yang memenangi pingat emas.

"Saya amat bangga dengan pencapaian itu kerana saya terpaksa berhadapan dengan juara dunia. Saya yakin saya mampu melakukan yang terbaik lagi selepas ini," katanya.

Shah Firdaus dan Shariz adalah antara yang menghadiri sidang media anjuran Yayasan Sime Darby di ibu negara hari ini, di atas kejayaan mereka dalam Sukan SEA.

Turut hadir empat lagi pelumba, iaitu Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Farina Shawati Mohd Adnan serta Anis Amira Rosidi di samping ketua jurulatih trek, John Beasley.

Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam, memberi jaminan pihaknya akan terus komited dalam membantu keenam-enam pelumba muda ini mencapai impian untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.