Kekecewaan tidak dapat dibendung oleh barisan pemain serta panel kejurulatihan skuad sepak takraw negara setelah terlepas peluang untuk meraih emas -- malah perak juga -- akibat tewas kepada Thailand dalam aksi regu berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Malaysia tewas straight set 21-15, 21-17 menerusi regu utama, Syahir Rosdi, Hanafiah Dollah dan Farhan Adam sebelum regu kedua dan ketiga turut mencatat kekalahan 21-10, 21-6 dan 21-9, 21-8.

Kesilapan dalam merangka percaturan telah memakan diri sendiri sehingga seluruh skuad sepak takraw Malaysia berputih mata untuk sekurangnya-kurangnya meraih perak dalam acara itu dan perkara itu diakui oleh Farhan yang juga merupakan pemain apit kiri negara.

"Kami mengharapkan kemenangan ketika bertemu Indonesia (malam tadi), namun ditimpa kekalahan.

"Jadi, kami perlu bermati-matian ketika bertemu Thailand.

"Saya sebagai pemain dalam regu pertama ketika berdepan Thailand mengakui bahawa rentak kami terjejas selepas kalah dalam pertemuan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan skuad sepak takraw negara, Mohd Syahir Rosdi, memohon maaf kepada semua penyokong Malaysia selepas tewas kepada Thailand dalam acara regu berpasukan, menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menghadiahkan pingat emas di laman sendiri.

"Saya sebagai ketua pasukan menanggung kekalahan ini. Walau apa orang nak cakap, saya tetap akan mempertahankan sepak takraw Malaysia.

"Terima kasih kepada penyokong sebab sudi datang untuk memberi sokongan," katanya.

Kini, Malaysia tiada pilihan lain kecuali menunjukkan kebangkitan dan mencari formula baru untuk mempersiapkan diri menjelang acara regu yang akan bermula pada 28 Ogos.