Skuad sepak takraw negara tewas kepada Indonesia 2-1 sebentar tadi, sekaligus menyempitkan peluang untuk menamatkan kemarau 26 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA.

Dalam aksi di Stadium Tertutup Titiwangsa itu, pasukan negara yang dibarisi regu utama, Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Hanafiah Dollah, memastikan Malaysia di depan 1-0 selepas meraih kemenangan 23-25, 21-16, 21-11.

Bagaimanapun, Malaysia yang mendapat tentangan hebat lawan dalam perlawanan regu kedua, tumpas 13-21, 21-18, 11-21 sebelum regu ketiga juga tewas straight set 14-21, 18-21.

Kekalahan kepada Indonesia di depan penyokong tempatan jelas sukar diterima biarpun menang ke atas Brunei 3-0 dalam aksi sulung pada sebelah pagi.

Begitupun, kekalahan itu belum memadamkan peluang mereka untuk memenangi emas, dengan syarat perlu mengatasi Thailand hari ini, sambil berharap Brunei melakar kejutan ke atas Indonesia -- kedua-dua kebarangkalian itu amat tipis untuk berlaku.

Thailand hampir pasti mempertahankan pingat emas selepas mudah mengatasi Indonesia dan Brunei, masing-masing dengan keputusan 3-0 -- cukup untuk memberi bayangan mereka terlalu kuat buat Malaysia.

Dengan menggunakan format round robin, skuad Gajah Perang itu kini gah mendahului carta kumpulan dengan empat mata manakala Indonesia dan Malaysia berkongsi dua mata di tangga kedua manakala Brunei belum meraih sebarang mata.

Untuk rekod, hanya empat pasukan yang mengambil bahagian dalam acara regu berpasukan, iaitu Malaysia, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Dalam temasya di Singapura dua tahun lalu, Malaysia terpaksa akur kepada Thailand apabila tewas dalam perlawanan terakhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara regu berpasukan lelaki adalah pada Sukan SEA Manila 1991.