Selepas dikritik hebat berhubung masalah prestasi dalam Sukan SEA kali ini, skuad regu negara bangkit menepis kata-kata negatif itu dengan menewaskan Filipina dalam aksi terakhir kumpulan acara regu untuk merangkul pingat emas.

Dalam aksi di Stadium Tertutup Titiwangsa malam ini, skuad negara menjadi tumpuan, terutama selepas aksi longlai ditampilkan ketika menentang Thailand dalam acara regu berpasukan, 19 Ogos lalu.

Menyedari hakikat itu, Malaysia perlu menghadirkan emas menerusi acara regu bagi menepis kritikan -- di sebalik ia sebenarnya adalah acara kurang berkualiti kerana tidak disertai Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Dalam pada itu, ia masih bukan perlawanan yang mudah buat anak buah Abdul Talib Ahmad. Pada set pertama, Malaysia terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 25-23.

Kem Malaysia sedikit cemas apabila perejam, Hanafiah Dollah, mengalami kecederaan pada set kedua tetapi dia kembali meneruskan permainan bersama Syahir Rosdi dan Farhan Adam.

Rejaman Hanafiah dan servis tajam Syahir banyak memerangkap pemain Filipina dan akhirnya Malaysia menang pada set kedua 21-13.

Kemenangan ini membolehkan Malaysia muncul juara kumpulan selepas meraih lapan mata untuk merangkul emas manakala perak milik Filipina dan gangsa milik Brunei dan Laos.

Dengan menggunakan format liga sepusingan, acara regu lelaki ini disertai lima negara tanpa Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Ditanya mengenai kemenangan emas tanpa penyertaan Thailand dalam acara ini, Syahir berkata: "Kami telah cuba memberikan yang terbaik.

"Kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang untuk menewaskan pasukan Thailand."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.