Malaysia melengkapkan saingan renang seirama dengan membawa pulang pingat perak dalam acara rutin bebas berpasukan di Pusat Akuatik Nasional, malam ini.

Malaysia mencatatkan kutipan 73.0667 mata, namun gagal untuk memintas Singapura yang dibarisi dua watak penting mereka, Debbie Soh Li Fei dan Miya Yong Hsing, mempamerkan gerakan yang lebih mantap dan berjaya mengutip 75.1333 mata.

"Kami masih gembira tetapi sasaran utama kami adalah pingat emas. Namun, disebabkan kurang menyertai kejohanan luar, sukar untuk kami mengutip mata lebih tinggi," kata perenang negara, Gan Zhen Yu.

Gangsa pula milik Indonesia menerusi kutipan 71.4667 mata.

Dengan ini, Malaysia telah mengumpul dua emas dan tiga perak, sekaligus memperbaiki rekod dua tahun lalu apabila meraih satu emas dan dua perak.