Gandingan Lee Yhing Huey dan Gan Hua Wei berjaya meraih pingat perak dalam acara duet rutin teknikal yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Selepas Yhing Huey meraih pingat perak dalam acara solo bebas manakala emas dijelmakan oleh Hua Wei dalam acara solo teknikal, pasangan memasang impian untuk menambah bilangan emas buat negara dalam acara duet rutin teknikal.

Mereka mempamerkan persembahan yang mantap apabila mengutip 74.3659 mata, namun gagal memintas gandingan Singapura, Debbie Soh Li Fei-Miya Yong Hsing, yang meraih mata terbanyak dengan 75.1791 mata -- kelebihan hanya 0.8132 mata."Kami sudah melakukan rutin ini dengan baik, malah jauh lebih mantap berbanding dalam sesi latihan," kata Yhing Huey.

"Kami tetap bergembira dengan keputusan dan markah ini."

"Suasana serta sorakan yang diberikan oleh penyokong sangat menakjubkan. Kami akan terus cuba mempertingkatkan lagi teknik kami kerana sasaran seterusnya adalah untuk ke Sukan Olimpik 2020 dan saya berharap untuk ke sana," kata Hua Wei pula.

Pasangan Indonesia, Anisa Feritrianti-Claudia Megawati Suyanto mengecewakan gandingan kedua Malaysia, Chai Jia Hue-Wong Mei Teng untuk meraih pingat gangsa.