Acara duet rutin bebas yang akan berlangsung hari ini akan menjadi peluang terakhir buat atlet renang seirama negara, Lee Yhing Huey, untuk menamatkan cabaran dalam Sukan SEA kali ini dengan kilauan emas.

Selepas mengharungi dua acara sebelum ini, Yhing Huey meraih pingat perak dalam saingan solo rutin bebas serta duet rutin teknikal bersama Gan Hua Wei.

Dia sekali lagi akan bergandingan bersama Hua Wei untuk satu lagi acara, iaitu duet rutin bebas dan emas semestinya menjadi buruan.

Gandingan ini berterusan menjalani latihan semalam untuk tampil dengan persembahan bertenaga apabila acara itu berlangsung nanti.

"Kami mengadakan beberapa latihan untuk memperkemaskan aksi kami.

"Sudah tentu kami akan menampilkan yang terbaik dan selepas itu terpulang kepada juri.

"Ini adalah acara kedua terbaik kami dan saya harap kami mampu melakukan kejutan," katanya.

Sementara itu, Hua Wei optimis beberapa pertukaran daripada segi pergerakan akan membantu dia serta Yhing Huey menampilkan aksi lebih berbeza nanti.

Secara peribadi, dia memburu emas kedua pada temasya ini selepas mengungguli acara rutin teknikal solo sebelum ini.

"Kami menukar sedikit koreografi agar rutin kami lebih baik.

"Saya harap aksi kami lebih baik berbanding edisi sebelum ini dan gandingan yang sudah lama sudah pasti akan meningkatkan prestasi kami," kata Hua Wei.