Perenang wanita negara, Phee Jinq En, menyumbangkan satu lagi emas buat Malaysia selepas mengungguli kategori 100 meter kuak dada wanita dalam aksi di Pusat Akuatik Nasional, sebentar tadi.

Lebih manis, dia mencipta sejarah baru apabila mencatatkan 1 minit 9.00 saat sekaligus memecahkan rekod kejohanan selama lapan tahun, 1:09.82s, yang dipegang oleh rakan senegara, Siow Yi Ting.

Atlet dari Selangor itu menewaskan pencabar dari Singapura, Samantha Louisa, yang mencatat masa 1:09.44s untuk berada di tempat kedua dan pemenang gangsa, Anandia Treciel dari Indonesia, dengan masa 1:10.82s.

"Saya menghadapi pelbagai tekanan untuk sampai ke tahap ini kerana saya merupakan juara bertahan, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri, jadi saya berasa amat gembira akhirnya berjaya menamatkan saingan sebagai pemenang.

"Saya tidak mahu menyifatkan kemenangan ini sudah dijangka tetapi dalam masa sama mempunyai alasan sendiri untuk sentiasa percaya bahawa saya mampu untuk melakukannya," kata Jinq En.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.