Lee Yhing Huey meraih pingat perak buat Malaysia bagi acara renang berirama rutin bebas solo dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Yhing Huey, yang menjadi prospek emas negara, terpaksa akur berada di tempat kedua dengan mengumpul 74.7000 mata -- cuma 0.3 mata di belakang pemenang pingat emas, Debbie Soh Li Fei dari Singapura.

Atlet republik itu mengumpul catatan tertinggi 75.000 mata dalam pusingan akhir, sementara gangsa juga dimiliki wakil negara jiran itu, Miya Yong Hsing (73.0333 mata).

"Saya pasti telah melakukan dengan baik. Pungutan mata yang dicatatkan saya sepanjang tahun ini sekitar 74.000 mata. Ia sebenarnya merupakan catatan yang baik.

"Saya kagum mendapat sorakan gemuruh penonton yang melonjakkan semangat saya untuk menampilkan aksi lebih baik lagi," katanya.

Yhing Huey kelihatan kecewa kerana terlepas emas yang diimpikannya dan terpaksa dipujuk rakan senegara.