Azroy Hazalwafie Izhar membalas kepercayaan terpilih dalam Program Podium apabila menghuni ranking kedua Persekutuan Angkat Berat Komanwel, sekaligus membakar semangatnya untuk mencipta kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Hazalwafie hanya mengambil sebulan untuk mencipta impak pertama selepas dipilih dalam Program Podium.

Berdasarkan ranking kategori 56kg, Persekutuan Angkat Berat Komanwel, dia kini menghuni ranking kedua dengan jumlah angkatan 245kg.

Ranking pertama menjadi milik atlet India, Raja Poojary Guru, dengan kelebihan 4kg.

Ia membuktikan atlet kelahiran Rompin, Pahang itu berpotensi untuk mencipta kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

"Saya mahu membuat kejutan dalam Sukan SEA akan datang untuk mendaki ke ranking nombor satu dalam Komanwel.

"Lagipun, Program Podium menetapkan sasaran pingat emas ke atas saya dalam Sukan Komanwel.

"Oleh itu, saya perlu tingkatkan usaha dan bekerja keras.

"Program Podium ini adalah rezeki buat saya. Peluang yang diberikan ini akan digunakan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Cabaran dalam Sukan SEA dilihat lebih sukar menerusi dominasi atlet Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Dia bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA dan ketika ini menghuni ranking keempat di Asia Tenggara.

"Saya tidak diletakkan sebarang sasaran. Tetapi saya tetap akan berusaha untuk memenangi tanpa kira sebarang pingat.

"Ini keran, sasaran saya adalah untuk memperbaiki ranking dalam Komanwel, apapun saya tetap akan memberikan yang terbaik"

Selain Hazalwafie, skuad angkat berat negara meletakkan harapan di bahu Mohd Hafifi Mansor untuk memburu lima emas yang ditawarkan dalam Sukan SEA.