Skuad ragbi 7s negara, bangkit daripada kekalahan 12-7 kepada Thailand pagi tadi untuk membelasah Indonesia 75-0 dalam aksi terakhir sekaligus melangkah ke final selepas Thailand berjaya mengetepikan cabaran Filipina 31-14.

Skuad kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor memerlukan kemenangan besar ke atas Indonesia selepas dikecewakan Thailand namun perlu bergantung kepada aksi di antara Filipina berdepan Thailand.

Menyedari perlu menang besar, Saizul mengarahkan anak buahnya untuk mengejar seberapa banyak mata berdepan Indonesia.

"Selepas kalah kepada Thailand, saya mengarahkan pemain untuk membuat sekurang-kurang 70 mata.

"Apabila kami membuat jaringan, anak buah saya perlu segera memulakan permainan.

"Saya harap keputusan mata pertemuan di antara Filipina dan Thailand tidak jauh bagi mencerahkan peluang kami ke final," jelas Saizul.

Malaysia mungkin kehilangan khidmat Dzafran Asyraaf susulan kecederaan lantas keadaannya perlu dinilai terlebih dahulu sebelum aksi final.

"Sehubungan itu, saya mungkin terpaksa membuat rombakan untuk mengimbangi bahagian serangan dan pertahanan," tambah Saizul.

Malaysia bakal membuat perhitungan pingat emas berdepan Singapura jam 5 petang ini selepas masing-masing mengutip 13 mata selepas lima perlawanan.

Ketika perlawanan kedua di antara Malaysia dan Singapura, skuad negara berjaya melakar kemenangan 12-10.