Jurulatih skuad polo air lelaki negara, Voon Yong Hui, tidak mahu pasukannya terlalu menghormati Singapura menjelang pertemuan terakhir liga sepusingan dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, esok.

Reputasi Singapura selaku juara bertahan acara ini sukar dinafikan, apatah lagi mereka muncul juara dalam 23 edisi -- satu rekod yang cukup gah jika dibandingkan dengan Malaysia yang kini berpeluang menamatkan cabaran di kedudukan pingat.

Yong Hui yakin Singapura akan lebih berwaspada selepas kejayaan Indonesia mengikat mereka 4-4 dalam pertemuan sebelum ini.

"Singapura merupakan juara Sukan SEA buat sekian lama, mereka agak mantap dan kami menjangkakan ia perlawanan yang sukar. Kami beraksi dengan baik dan bekerja keras dalam latihan.

"Kami bersedia untuk menghadapinya dan akan memberikan saingan sengit kepada Singapura," katanya.

Malaysia ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata hasil daripada dua kemenangan dan tewas satu perlawanan.

Sekiranya dapat menewaskan Singapura, Malaysia berpeluang meraih pingat perak sambil mengharapkan Indonesia gagal mengatasi Filipina dalam satu lagi pertemuan.

Jika keputusan berlaku sebaliknya, Malaysia masih di kedudukan terbaik untuk meraih gangsa kerana mempunyai kelebihan dua mata di depan Filipina.

Yong Hui juga mahu menjadikan kemenangan tipis 8-7 ke atas Filipina kelmarin sebagai peringatan agar tidak terlalu memberikan terlalu banyak ruang kepada lawan.

"Apabila kami mendahului 5-1, pemain terlalu santai sehingga dibolosi. Selain daripada itu, kami tidak menghadapi masalah lain," tambahnya.


Perlawanan esok:

Indonesia lwn Filipina (9 pagi)

Sinapura lwn Malaysia (11 pagi)