MALAYSIA 6 SINGAPURA 12

Skuad polo air wanita negara terpaksa akur dengan kekalahan kedua selepas tewas 12-6 kepada Singapura di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Sebelum ini, Malaysia mudah dijinakkan Thailand 22-2 pada aksi pembukaan, meletakkan misi untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan kedua bertemu Singapura.

Pada suku pertama, Malaysia berjaya mempamerkan aksi yang seimbang berdepan pemenang pingat perak edisi dua tahun lalu apabila mengikat Singapura 3-3.

Bagaimanapun, skuad kendalian Lau Kum Weng itu meningkatkan tempo permainan apabila berjaya menghasilkan dua gol sebelum tamat separuh masa pertama.

Malaysia gagal untuk menyamai kedudukan dan Singapura enggan memberikan peluang kepada pasukan tuan rumah apabila menambah tiga lagi jaringan dalam suku ketiga.

Malaysia seakan-akan mempamerkan kebangkitan selepas berjaya mencetak tiga gol pada suku yang terakhir, namun Singapura memastikan kemenangan berpihak kepada mereka apabila meraih empat lagi jaringan sebelum menamatkan perlawanan 12-6.

Sementara itu, Thailand berjaya meraih kemenangan kedua apabila membenam Indonesia 12-4.