MALAYSIA 4 SINGAPURA 17

Skuad polo air lelaki negara akhirnya berjaya meraih pingat gangsa selepas 12 tahun apabila menamatkan liga sepusingan di tempat ketiga.


Kemenangan Malaysia dalam dua perlawanan bertemu Thailand dan Filipina meletakkan mereka di kedudukan yang berpotensi untuk meraih pingat gangsa.

Walaupun mengalami kekalahan 17-4 kepada penyandang juara, Singapura, dalam aksi terakhir, kemenangan Indonesia ke atas Filipina membantu pasukan negara untuk meraih pingat pertama sejak Sukan SEA Manila 2005 di mana Malaysia turut meraih gangsa.
Kapten pasukan, Daryl Khoo Tiong Jinn, menyifatkan kejayaan mereka meraih pingat gangsa mahu dijadikan sebagai pembakar semangat Malaysia untuk meraih kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kami sangat gembira dapat mencapai sesuatu dalam sukan polo air ini.

"Saya harap ia dapat mendorong pemain selepas ini untuk mencapai sesuatu di peringkat antarabangsa dan bukan hanya di Malaysia.

"Semalam, kami sepasukan bertekad untuk fokus dalam perlawanan terakhir ini untuk memenangi gangsa," kata Daryl.

"Skuad ini mula dikumpulkan sejak Disember dan secara tidak langsung mengambil masa kurang setahun untuk membentuk pasukan ini tetapi berjaya meraih gangsa.

"Saya harap kami akan membuat persediaan lebih awal untuk mencapai keputusan lebih baik dalam Sukan SEA akan datang."