Skuad ping pong negara terus dirundung malang apabila kesemua pemain tersingkir dalam acara beregu yang dipertandingkan di Dewan 7, MITEC hari ini.

Impian Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim untuk mencipta kejutan di laman sendiri semakin tipis apabila mereka terus gagal mara ke peringkat seterusnya.

Shakirin -- yang berpasangan dengan Ashraf Haiqal dalam acara beregu lelaki -- bertarung hebat dengan wakil Thailand, Nikom Wongsiri-Pattaraporn Passara sebelum akur dengan kehebatan lawan, 10-11, 11-10, 9-11, 11-9, 6-11.

Wakil seterusnya, Leong Chee Feng dan Choong Javen tewas kepada wakil Myanmar, Kyi Myint-Soe Min Oo, 8-11, 9-11, 11-5, 9-11.

"Aksi saya dalam beregu lelaki lebih baik berbanding aksi beregu campuran. Saya lebih tenang, tidak terlalu cepat untuk mematikan bola.

"Cuma tiada rezeki, itu sahaja," kata Shakirin.

Dalam acara beregu wanita, Sock Khim juga gagal untuk menggunakan pengalaman luasnya dalam Sukan SEA, apabila dia serta pasangan, Ting Hie Phin, tewas kepada pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, Lin Ye-Zhou Yihan, 7-11, 9-11, 11-8 7-11.

Satu lagi wakil negara, Ho Ying-Lee Rou You, juga terkandas apabila tewas 11-9, 11-7 10-11 kepada wakil Vietnam, Mai Hoang My Trang dan Nguyen Thi Nga.

"Secara keseluruhannya, persembahan kami agak baik sebab mereka merupakan penyandang juara dan kali ini kami mampu memberi tentangan," kata Sock Khim.