Dua pingat gangsa mampu dirangkul skuad ping pong negara susulan berjaya mengelak pertembungan dengan pasukan pilihan, Singapura, bagi kategori pasangan campuran dan beregu wanita yang akan bermula esok.

Undian bagi beregu campuran dilihat memihak kepada skuad negara apabila dua beregu yang akan dipertaruhkan -- Muhd Ashraf Haiqal/Lee Rou Yu dan Muhd Shakirin Ibrahim/Ng Sock Khim -- tidak akan bertembung dengan Singapura sehingga ke separuh akhir.

Bagi beregu wanita, Rou Yu yang bergandingan dengan Ho Ying turut mendapat tuah apabila diundi berdepan pasangan Myanmar dalam pusingan awal sebelum bakal berdepan pemenang di antara beregu Vietnam dan Filipina dalam suku akhir.

Bagaimanapun, Rou Yu enggan peluang meraih pingat gangsa disia-siakan dengan memandang rendah kemampuan pencabar negara lain.

"Kami mempunyai peluang untuk mara ke separuh akhir sebagai pasangan beregu wanita.

"Bagaimanapun, acara beregu campuran pula agak sukar kerana kami bakal berdepan pasangan Indonesia (Fiky Supit Santoso/Gustin Dwijayanti) yang pernah mengalahkan kami dalam Kejohanan Asia Tenggara, Disember lalu," ujar Rou You.

Sementara itu, Shakirin berharap mampu menjelmakan aksi cemerlang dalam acara beregu campuran selepas menyedari laluan sukar menantinya dalam beregu lelaki kerana gandingan Singapura, Che Zhe Yu-Poh Shao Feng, bakal menanti dalam suku akhir.

"Kedua-dua pasangan beregu campuran Malaysia mempunyai peluang kerana tidak bertembung dengan Singapura.

"Tetapi, Thailand bukanlah lawan yang mudah. Bukan kami terlalu yakin, namun kami akan memberi aksi terbaik.

"Cuma ini adalah peluang terbaik untuk kami mendapatkan medal," kata Shakirin.

Jadual ping pong:

Berpasangan campuran (kalah mati)
Pasangan 1 : Shakirin Ibrahim & Ng Sock Khim
Pasangan 2 : Ashraf Haiqal & Lee Rou You

Berpasangan lelaki (kalah mati)
Pasangan 1 : Ashraf Haiqal & Shakirin Ibrahim
Pasangan 2 : Javen Choon & Leong Chee Feng

Berpasangan wanita (kalah mati)
Pasangan 1 : Lee Rou You & Ho Ying
Pasangan 2 : Ng Sock Khim & Ting Hie Phin

Perlawanan : bermula 9.00 pagi