Pasukan ragbi Johor muncul juara Piala Agong 2017 selepas mengecewakan tuan rumah, Terengganu, 32-29 dalam aksi sengit di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Terengganu terlebih dahulu bermula garang pada awal perlawanan dengan mendahului 10-0 hasil dua try daripada Timoci Vunimoku.

Seorang lagi tonggak import, Sevanaia Natuitagalua, turut menambah mata melalui try sebelum Muhammad Faizal Md Tahir menyudahkan conversion bagi menjadikan kedudukan 17-0.

Johor kemudian merapatkan defisit mata 7-17 menerusi try Waqaliva Vucukula serta conversion daripada Wan Mohd Asyraff Norudin dan kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa.

Pada separuh masa kedua, penalti Wan Mohd Asyraff memberikan mata ke-10 Johor dan mereka terus bangkit untuk menyamakan kedudukan 17-17 melalui satu try serta conversion.

Perlawanan yang terus rancak menyaksikan Terengganu menambah tujuh mata menerusi try Vunimoku dan conversion Muhammad Faizal.

Johor mendahului buat kali pertama selepas melakukan try daripada Vucukula serta penalti Wan Mohd Asyraff untuk menjadikan kedudukan 25-24.

Mereka berjaya menjarakkan jurang mata 32-24 apabila Amirul Aiman Ihsan melakukan try dan conversion daripada Wan Mohd Asyraff.

Tuan rumah cuba memberi saingan, namun hanya mampu menambah lima mata dan kedudukan 32-29 berpihak kepada Johor kekal sehingga wisel penamat.

Menurut jurulatih Johor, Hamrizal Hamdan, kejuaraan dilakar ini cukup manis selepas kali terakhir muncul juara pada 2013 selain turun pada kejohanan ini dengan status bukan pasukan pilihan.

Mengakui tertekan dengan serangan awal Terengganu, Hamrizal berkata pasukannya hanya mula mendapat rentak apabila merapatkan kedudukan pada penghujung babak pertama.

Jelasnya, momentum itu diteruskan pada separuh masa kedua diketuai tonggak import yang juga bekas pemain kebangsaan Samoa, Nissan Aitui, yang menjadi pemusnah pasukan lawan.

“Saya sentiasa yakin pemain-pemain mampu untuk bangkit dan hasilnya, semangat berpasukan yang jitu membolehkan kejuaraan ini berpihak kepada Johor."

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Khairizal Ali Amat, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas menyaksikan pasukannya melepaskan peluang terbaik muncul juara buat kali pertama.

Katanya, pemain hilang fokus, malah bersikap selesa apabila mendahului pada awal perlawanan hingga membolehkan lawan mengambil kesempatan untuk meraih mata.

“Itu adalah kesilapan paling ketara. Diharapkan ini pengajaran terbaik untuk kembali merebut kejuaraan pada tahun hadapan,” kata Khairizal.

Selaku juara, Johor membawa pulang wang tunai RM15,000 manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan RM10,000.