Muhammad Hafizuddin Mat Daud dipaksa berhempas-pulas oleh juara dunia shooting 2017 dari Kemboja, Sok Chan Mean, dalam aksi separuh akhir perseorangan lelaki petanque sebelum menang 13-10.

Atlet petanque negara berjaya mara ke final selepas menewaskan Chan Mean 13-10 di Arena Petanque Kuala Lumpur, hari ini.

Menerima asakan Chan Mean, Hafizuddin menyifatkan sorakan penyokong membantunya untuk mempamerkan aksi terbaik sebelum ke final.

"Apabila saya tidak dapat memanfaatkan peluang, tiba-tiba saya menjadi tersentak. Faktor itu menjadi titik tolak kepada lawan saya untuk bangkit," kata Hafizuddin.

"Apabila mendapat sorakan rakan sepasukan khususnya, saya cuba untuk kembali fokus. Alhamdulillah, saya berjaya ke perlawanan akhir."

Hafizzudin kini dalam landasan yang baik untuk mempertahankan pingat yang dimenanginya dua tahun lalu, apabila berdepan wakil Thailand, Kiatkong Tanong, dalam aksi final, petang ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.