Harapan petanque untuk menutup kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan pingat emas ketiga tidak kesampaian apabila gandingan pasangan campuran, Mohd Nuzul Azwan dan Anis Amira Basri, terpaksa berpuas hati dengan pencapaian gangsa, hari ini.

Skuad petanque negara meletakkan harapan tinggi kepada Azwan dan Anis yang diletakkan sebagai salah satu sasaran yang mampu merakamkan kejuaraan.

Begitupun, mereka berdua tewas dalam saingan separuh akhir kepada pasangan Thailand, Aumpawan Suwannaparuk dan Sarawut Sriboonpeng, dengan keputusan 13-2.

Menurut Anis, mereka berasakan ada peluang lebih baik ke aksi penentuan emas jika mampu menjuarai peringkat kumpulan bagi mengelak pertemuan dengan Thailand dalam separuh akhir.

"Bagi saya, mungkin jika kami berdepan Kemboja, peluang ke final lebih cerah. Ini kerana Thailand mempunyai dendam dengan skuad Malaysia, jadi mereka lebih bersemangat untuk menewaskan kami," katanya.

Sementara itu, Nuzul menjelaskan lawan bijak menyerap tekanan selain turut dibantu faktor tuah untuk menewaskan mereka.

"Tiada jurang ketara di antara kami dengan Thailand, cuma ada satu ends mereka mengutip mata yang agak besar dan dari situ mereka lebih bersemangat untuk menang," katanya.

Secara keseluruhan, ini merupakan prestasi terbaik skuad petanque dalam sejarah Sukan SEA selepas meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.