Skuad pelayaran negara dijangka mampu menambah koleksi pingat Sukan SEA di Pusat Pelayaran Negara, Langkawi selepas cemerlang membutir dua emas, satu perak dan satu gangsa, semalam.

Satu daripadanya diraih dalam kategori antarabangsa 470 menerusi Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang berjaya menewaskan lawan dari Thailand dan Filipina.

Faizal dan Syukri mencatat keseluruhan sejumlah 17 mata selepas 10 perlumbaan untuk dinobat selaku pemenang.

Sementara itu, dalam kategori antarabangsa 420, Malaysia turut meraih emas yang disumbangkan Muhammad Uzair Amin dan Naquib Eiman yang cemerlang sepanjang 10 perlumbaan untuk mudah mengatasi Thailand dan Singapura dengan mencatat 13 mata.

Kejayaan ini sekaligus menyaksikan skuad pelayaran kini mengumpul tiga emas, dua perak dan dua gangsa.

Skuad negara berpeluang untuk menambah koleksi emas masing-masing menerusi dua dan lima emas yang ditawarkan masing-masing pada hari ini dan esok.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.