Harapan untuk menyaksikan pemenang pingat emas acara 100 meter, Khairul Hafiz Jantan, meraih emas kedua dalam acara 200 meter lelaki, lebur apabila hanya mampu menduduki tempat keempat, malam ini.

Pingat emas menjadi milik atlet Filipina, Anthony Beram, dengan catatan masa 20. 84 saat sementara Jirapong Meenapra dari Thailand mengutip perak selepas mencatat 21.22s.

Menariknya, seorang lagi wakil negara, G. Aravin Thevarr, berjaya memintas Khairul Hafiz untuk meraih gangsa dengan masa 21.26s.

"Bagi saya, walaupun keadaan tidak berapa baik, tetapi demi negara saya tetap lari. Alhamdulilah saya dapat menamatkan larian di kedudukan keempat," jelas Khairul Hafiz.

Sementara itu, kategori 200m wanita tidak mengecewakan apabila ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menambah pungutan satu lagi pingat perak.

Zaidatul melakar masa 23.64s, ketinggalan 0.32s di belakang pelari Vietnam, Le Tu Chinch -- emas bergandanya selepas menjuarai 100m -- yang turut mencatat rekod baru kejohanan dengan 23.32s manakala gangsa menjadi milik atlet Singapura, Veronica Shanti Pereira (23.68s).

"Alhamdulillah, sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam acara 200 meter ini. Jurulatih juga hanya meminta saya untuk melakukan yang terbaik. Selain daripada tidak menjangkakan pingat, saya juga berjaya memperbaharui catatan peribadi terbaik.

"Walaupun pingat perak, saya melakar catatan peribadi terbaik dan itu sahaja sudah cukup bernilai buat saya. Saya anggap ini hadiah terbaik untuk saya serta barisan jurulatih dan ahli keluarga. Pingat ini untuk mereka," kata Zaidatul.

Zaidatul mendedahkan bakal berehat seminggu, namun akan tetap meneruskan sesi latihan.

"Selepas ini, saya akan mengambil masa seminggu untuk berehat, namun akan tetap menjalani latihan seperti biasa. Saya sememangnya amat ternanti-nanti akan temasya Sukan SEA ini. Saya bersyukur kerana berjaya menaiki podium dalam kedua-dua acara (100 dan 200m)," tambahnya.

Berita gembira turut hadir daripada acara 800m lelaki, apabila atlet Negeri Sembilan, Royson Vincent, berjaya mendapatkan pingat gangsa.

Royson -- pemenang pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Julai lalu -- menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 minit 50.76 saat.

Emas milik atlet Vietnam, Duong Van Thai, yang melakar 1m 48.97s sementara Marco Vilog dari Filipina -- dengan catatan 1m 49.91s -- meraih perak.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto: Media MASOC