Gu Yuan mencipta sejarah apabila menjadi jurulatih pertama dalam acara olahraga yang berjaya membantu kedua-dua atletnya meraih emas dengan rekod baru Sukan SEA selepas Grace Wong melakar catatan 59.24 meter dalam acara baling tukul besi wanita hari ini.

Turut menyinar, Iskandar Alwi yang memecahkan rekod kebangsaan di sebalik hanya meraih pingat gangsa acara lompat bergalah lelaki.

Apa pun, kejayaan Grace melengkapkan sentuhan emas Gu Yuan.

Atlet berdarah Papua New Guinea ini mengatasi juara bertahan, Mingkamon Koomphon dari Thailand yang meraih perak sementara seorang lagi atlet Thailand, Panwat Gimsrang, membawa pulang gangsa.

Semalam, anak didik Gu Yuan, Jackie Wong Siew Cheer, memecah rekod temasya, sekaligus meraih emas acara baling tukul besi lelaki.

Kejayaan Jackie secara tidak langsung mengangkat Gu Yuan jurulatih terbaik olahraga ketika ini.

"Hari ini Grace berjaya memberikan pingat emas buat Malaysia. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik," kata Gu Yuan.

Grace turut mengakui Gu Yuan menjadi pendorong utamanya meraih kejayaan.

"Jurulatih merupakan pendorong kepada kejayaan saya serta keluarga saya memberikan sokongan kepada saya," kata Grace.

Jackie turut meluahkan keyakinan terhadap Grace untuk merakamkan pingat emas.

"Saya telah memberitahu bahawa saya yakin emas mampu dihasilkan oleh Grace. Kami mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang telah diberikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Jackie.

Sementara itu, Iskandar boleh berbangga dengan catatan 5.25m yang turut terukir sebagai rekod baru kebangsaan.

"Jika lebih ramai atlet yang bersaing dalam acara lompat bergalah, saingan akan menjadi lebih kompetitif sekaligus meningkatkan mutu atlet Malaysia," katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.