Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh Ling Yin, menambah berita gembira di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila berjaya meraih pingat emas menerusi acara 10,000 meter jalan kaki, hari ini.

Kejayaan Elena menyemarakkan lagi pencapaian kontinjen negara di lapangan olahraga selepas tiga pungutan pingat emas oleh Khairul Hafiz Jantan (100 meter), Irfan Shamsudin (lempar cakera) dan Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi).

Atlet berusia 21 tahun itu menamatkan acara dengan catatan masa 52 minit 21.50 saat untuk meraih pingat emas dengan wakil Vietnam, Phan Thi Bich Ha meraih pingat perak dengan catatan masa 52 minit 27.78 saat.

Atlet Thailand, Tanaphon Assawawongcharoen, membawa pulang pingat gangsa selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 53 minit 17.10 saat.

Pingat emas hadir bagaikan kejutan buat Elena yang tidak menjangkakan kejayaan ini tatkala kali terakhir atlet negara muncul pemenang pingat emas adalah 18 tahun lalu di Brunei, menerusi Yuan Yu Fang.

"Saya tidak menjangkakan kemenangan dalam acara ini kerana terdapat beberapa atlet berpengalaman dalam acara ini," kata Elena.

Jurulatih Elena, Teoh Boon Lim -- yang juga merupakan tiga kali pemenang pingat emas dalam acara jalan kaki dalam Sukan SEA -- turut bersama-sama meraikan kejayaan bersama anak buahnya itu.

Sementara itu, atlet veteran, Yuan Yu Fang -- yang juga pemenang pingat gangsa di Kejohanan Asia 2000 dan 2003 serta Sukan Komanwel 2002 -- tidak mampu menamatkan perlumbaan ekoran mengalami kekejangan otot.

Yu Fang sebelum ini telah pun bersara namun kembali membuat penampilan selepas Malaysia muncul tuan rumah Sukan SEA edisi ke-29.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.