Usaha daripada pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam memastikan segala proses temasya dwitahunan ini berjalan lancar meraih pujian daripada negara-negara peserta.

Kesemua kontinjen nyata berpuas hati selepas berlangsungnya mesyuarat di antara pihak MASOC dan MOM bersama wakil dari negara masing-masing, pagi tadi.

“Segala perkara yang dibangkitkan telah dijangka dan ia bukanlah perkara besar.

“Kami bersedia untuk menguruskan sebarang masalah dan apa yang penting, mesyuarat hari ini berjalan dengan lancar,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.

Dua ketua kontinjen negara peserta, Muhammad Azis Syamsuddin (Indonesia) dan Milan Kwee (Singapura), serta Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong, turut menyuarakan kelegaan selepas tamat pertemuan tersebut.

"Setakat ini, semuanya dalam keadaan baik.

"Terima kasih kepada MASOC dan kerajaan Malaysia. Mudah-mudahan Sukan SEA kali ini akan menghasilkan yang terbaik," kata Azis.

"Penganjuran nampak baik sekali, terima kasih kepada MASOC dan Datuk Low Beng Choo atas bantuan yang dihulurkan.

"Semuanya telah diselesaikan dan kami tidak berdepan apa-apa masalah," tambah Milan.

“Pertandingan berjalan dengan lancar, kalau ada apa-apa masalah kecil kami akan terus perbaiki.

"Saya harap pertandingan akan berjalan dengan baik," ujar Zolkples.