Bekas penembak double trap negara, Edward Khor, sanggup bersara awal untuk memberi laluan kepada anaknya, Benjamin, memandangkan penganjuran Sukan SEA kali ini hanya menyediakan dua slot untuk wakil negara menyertai setiap acara.

Tiada apa yang lebih sempurna melainkan kejayaan anak sendiri terlakar di hadapan mata.

Itulah pengorbanan Edward yang sanggup mengetepikan impiannya untuk kemunculan kali keempat dalam Sukan SEA selepas 10 tahun tiada acara double dipertandingkan dalam sukan dwitahunan itu demi keutamaan anaknya, Benjamin.

Hal itu ternyata memberi pulangan lumayan apabila emas impiannya dalam saingan Sukan SEA direalisasikan anaknya sendiri.

"Ya, Benjamin telah menyempurnakan impian saya untuk meraih pingat emas dalam acara ini," kata Edward.

Bagi Benjamin, emas pertama menembak ini didedikasikan kepada bapanya yang merupakan jurulatihnya sendiri.

"Bapa saya telah beraksi dalam empat edisi Sukan SEA dan di Manila 2005, dia telah meraih pingat gangsa. Saya percaya pencapaian ini membanggakannya," kata Benjamin.

Sementara itu, emosi bercampur-baur menjadi punca seorang lagi penembak negara, Abraham Eng Wei Jin, gagal konsisten hingga ke pusingan kelima, sekaligus menyaksikan emas menjadi milik Benjamin dengan catatan 71 mata manakala perak milik Abraham dengan 66 mata.

"Saya agak kecewa. Saya hampir berjaya meraih pingat emas tetapi disebabkan kesilapan pada penghujung saingan, saya harus berpuas hati dengan pingat perak," kata Abraham.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.