Pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, menganggap kekalahan mengejut di tangan pemanah Vietnam, Anh Chu Duc, dalam final individu lelaki boleh diterima walaupun dia turun sebagai pemegang baru rekod temasya.

Skuad recurve negara menerima nasib sama seperti pasukan compound apabila gagal meraih emas pada hari pertama.

Khairul sepatutnya tiada masalah mengutip emas selepas memecah rekod temasya dan kebangsaan dengan 682 mata untuk mendominasi peringkat kelayakan.

Begitupun, pemanah kelahiran Terengganu ini tewas mengejut di tangan Chu Duc, 6-2 di Lapangan Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

"Walaupun dalam sesi kelayakan saya berada di ranking pertama, pemanah akan lebih tertekan berada dalam kedudukan itu berbanding ranking bawahan.

"Saya pun pernah berada dalam situasi itu dan berasa tertekan," kata Khairul.

Rakan sepelatih, Muhammad Akmal Nor Hasrin, pula sekadar meraih kedudukan keempat.

Dalam saingan wanita, pemanah negara, Nor Aliya Ghapar, membuktikan dia berpotensi menggantikan atlet senior seperti S. Anbarasi atau Moon Radee Sut Tze apabila meraih gangsa.

Dia menewaskan pemanah Myanmar, Thida Nwe, 6-0 dalam perebutan tempat ketiga.

"Pertama kali masuk sini, saya berasa mungkin ada perubahan dapat pergi lebih jauh. Dari awal kemunculan saya, saya terus meningkat," katanya.