Saritha Nam Chong mengucapkan terima kasih kepada dua rakan sepasukan yang sentiasa menebus kesilapannya ketika Malaysia meraih emas acara compound berpasukan wanita menewaskan Vietnam dalam final, hari ini.

Saritha beberapa kali membidik lapan mata dalam final, sekali gus dilihat sebagai kelemahan Malaysia.

Mujur, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Nurul Syazhera Mohd Asmi beraksi mantap untuk mengikat kedudukan 235 mata, sekali gus mengheret final ke shoot off.

Pada saat genting, trio negara berjaya mengawal tekanan, sekali gus mengesahkan emas dengan kedudukan 28-27.

Kejayaan ini bermakna Malaysia menyapu bersih kedua-dua emas pada hari kedua memanah, sekali gus kelegaan buat Saritha.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan saya kerana memberikan sokongan kepada saya. Saya gagal memberikan aksi yang terbaik tetapi akhirnya berjaya meraih emas," kata Saritha.

"Walaupun menghadapi kesukaran, kami bersyukur kerana membawa perlawanan sehingga ke shoot off sebelum meraih emas," kata Fatin.

"Hari ini, pemanah-pemanah negara memberikan tumpuan sepanjang perlawanan dan ia telah menghasilkan emas buat Malaysia," kata jurulatih memanah negara, Muhammad Zaki Mahazan.