Skuad memanah negara mencipta kejayaan emas berganda menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan wanita di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebentar tadi.

Trio memanah wanita negara yang dibarisi oleh Nur Afisa Abd Halil, Nur Aliya Ghapar dan Nuramalia Haneesha mara ke final selepas membuat kejutan menewaskan juara bertahan, Vietnam 6-2.

Mereka sekali lagi mempamerkan aksi yang mantap ketika berdepan Indonesia dalam final dengan meraih kemenangan 5-1.

Ini merupakan kejayaan bersejarah buat trio wanita yang menamatkan kemarau 12 tahun untuk kembali dikalungkan pingat emas sejak kali terakhir di Manila 2005.Trio lelaki negara yang diketuai oleh Khairul Anuar Mohamad melangkah ke final selepas mudah tundukkan Filipina 6-0.

Bergandingan bersama Haziq Kamaruddin dan Muhd Akmal Nor Hasrin, kelebihan beraksi di laman sendiri terus memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah dalam final.

Malaysia melakar kemenangan 5-1 ke atas trio Thailand, sekaligus mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan. Alhamdulillah, kami dapat mempertahankan pingat emas acara recurve berpasukan lelaki buat kali keempat berturut-turut. Saya sangat bersyukur," kata Khairul Anuar.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.