Final 500 meter luncur ais wanita Sukan SEA Ke-29 menyaksikan kontinjen negara meraih sebutir pingat emas di Empire City, Damansara Perdana, sebentar tadi.

Prestasi Anja An Ya Chong menyaksikan skuad negara cemerlang dalam kategori wanita apabila dia mencatat masa 48.448 saat.

Namun, impian untuk melihat penguasaan satu-dua Malaysia dinafikan apabila seorang lagi peserta negara, Ashley Chin, dikenakan penalti tatkala dia berada di posisi perak.

Untuk itu, Leechinnaphat Vorravalan (Thailand) dihadiahkan perak dan Cheyenne Goh (Singapura) mendapat gangsa.

"Kami sememangnya menyasarkan pingat emas. Itulah perancangan kami," kata Anja.

"Kami cuba mengekalkan ketenangan dan apabila kami melihat pihak lawan mula keletihan, ketika itulah kami mengambil kesempatan untuk menang.

"Perasaan saya tidak dapat dibayangkan.

"Inilah kali pertama sukan ais dipertandingkan dalam Sukan SEA dan untuk melakukannya di laman sendiri adalah satu pengalaman yang hebat.

"Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada kontinjen negara yang meraih pingat.

"Esok, kami akan bertanding dalam acara 1,000m berganti-ganti. Jadi, saya berharap dapat sekali lagi membanggakan rakyat Malaysia dan seterusnya bertanding dalam kelayakan Sukan Olimpik.

"Jika acara ini dipertandingkan lagi selepas ini di Filipina, sudah tentu saya akan bertanding kerana taraf sukan ini meningkat dengan mendadak."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.