Atlet lompat jauh Paralimpik negara, Abdul Latif Romly, kini dalam misi mendapatkan kembali berat badan di tahap optimum selepas turun enam kilogram akibat keracunan makanan sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur, yang berakhir Rabu lalu.

Latif sebelum ini mengalami keracunan makanan sehingga menjejaskan berat badannya yang turun sehingga 64kg.

Kini, beratnya sudah kembali normal -- mencecah sehingga 70kg -- dan dalam proses untuk menstabilkan tahap kecergasannya selain lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan bagi mengelak kejadian sama berulang sehingga boleh menjejaskan prestasinya dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 pula.

Gagal mencapai misi untuk memperbaharui rekod peribadinya, iaitu 7.60 meter, Latif mahu mendapatkan kembali momentumnya untuk menghadiahkan pingat emas buat negara.

"Saya sudah pulih daripada masalah kesihatan yang melanda semasa Sukan SEA yang lalu.

"Ketika ini, saya mahu memulihkan semula kekuatan dan memperbaiki semula teknik lompatan saya.

"Apapun, saya perlu menaikkan semula berat badan," kata atlet dari Perlis itu.

Tidak pulang meraikan Hari Raya Aidiladha, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu kekal berlatih bersendirian kerana memikirkan tugas getir dalam Sukan Para ASEAN nanti.

Kontinjen Paralimpik negara bakal melaporkan diri di Hotel Seri Pacific esok menjelang temasya itu yang bakal bermula 17 September nanti.

"Saya sangat teruja untuk beraksi dan kem negara sangat membantu kerana dapat menaikkan motivasi serta mengeratkan hubungan antara atlet," tambahnya.