Menjadi atlet wanita tunggal dalam skuad kuda lasak tidak menghalang Azizatul Asma Abdullah untuk membuktikan kehebatan tersendiri selepas membantu kem negara memenangi emas acara berpasukan dalam Sukan SEA ke-29 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, semalam.

Atlet kelahiran Marang, Terengganu itu menamatkan perlumbaan 80km berkenaan di kedudukan kelima dalam masa 3 jam 51 minit dan 26 saat dengan purata kelajuan 20.740km/j -- pencapaian membanggakan dalam penampilan sulung Sukan SEA.

Menurut Azizatul, 21, perasaan gemuruh sentiasa bermain dalam fikirannya dengan menyedari tanggungjawab serta harapan menggunung beraksi di negeri kelahirannya.

Katanya, sebaik sahaja skuad negara yang diketuai Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mendahului pada awal perlumbaan, moral semua penunggang Malaysia mula meningkat naik.

“Kejayaan ini sangat membanggakan. Tuanku (Sultan Mizan) juga kelihatan bersemangat dan itu yang menyemarakkan perjuangan Malaysia kali ini.

“Persiapan sejak penghujung tahun lalu telah membuahkan hasil dan pingat emas ini akan dijadikan motivasi untuk meraih pelbagai kejayaan lagi,” katanya.

Tumpuan Azizatul selepas ini ialah pada Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia FEI di Verona, Itali pada 24 September.

Sementara itu, pengurus pasukan kuda lasak negara, Che Mat Din Ismail, berkata skuad negara mula mendapat rentak selepas enam penunggang menamatkan pusingan pertama dengan bergaya.

Menurutnya, permulaan perlahan seteru utama, Thailand, juga menyaksikan Malaysia mengubah strategi kepada lebih berhati-hati bagi memastikan kuda tunggangan berada dalam keadaan terbaik.

“Penunggang negara disarankan untuk mengekalkan kelajuan dan lebih bertenang. Alhamdulillah, kesemua menamatkan perlumbaan dengan baik.

“Tahniah diucapkan, terutama kepada Sultan Mizan, yang kini bergelar pemegang rekod terpantas 80km di Asia Tenggara,” tambah Che Mat.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.