Pasukan kriket T20 lelaki negara mengesahkan laluan ke peringkat akhir apabila muncul juara Kumpulan B selepas menumpaskan Thailand menerusi kiraan tujuh wiket, hari ini.

Masih segar dengan kejayaan emas dalam pertandingan 50 overs, skuad negara meneruskan kecemerlangan dengan menjadikan Thailand sebagai mangsa terbaru.

Biarpun Thailand memenangi lambungan syiling dan mengambil giliran untuk melakukan pukulan terlebih dahulu dan mengumpul 77 larian, skuad negara menamatkan cabaran lawan ketika permainan pada peringkat 17.1 overs menerusi 81 larian.

Pengurus pasukan, R. Shanker, mengakui selepas aksi dipertunjukkan ketika bertemu Thailand, mental anak buahnya kini sudah bersedia untuk berdepan cabaran Singapura yang pasti mahu membalas dendam kekalahan tempoh hari.

"Kami telah menggunakan hampir semua pemain untuk mencari sentuhan ketika beraksi. Pemain-pemain menunjukkan persembahan yang cemerlang dan kami telah menonton video permainan Singapura.

“Kami akan membuat persiapan berdepan mereka," katanya.

Sementara itu, penolong ketua pasukan, Mohd. Shafiq Mohd. Sharif, menjelaskan perancangan mereka sewaktu menghadapi Thailand nyata berkesan dan akan dijadikan sebagai strategi menghadapi Singapura pada Selasa.

"Terdapat beberapa perancangan yang telah kami lakukan dalam perlawanan ini.

“Tetapi ia kurang membuahkan hasil untuk kami," kata Shafiq.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.