Kriket: Skuad negara makin berkembang

Oleh Staff Writer 30 Ogos 2017 425
Kriket: Skuad negara makin berkembang
Kehadiran penyokong yang memenuhi venue kriket di Kinrara Oval bagi menyaksikan perlawanan akhir kategori T20 semalam membawa makna bahawa sukan itu semakin mendapat tempat di negara ini.

Pengurus kriket negara, R. Shanker, berkata ia diperkuatkan dengan pencapaian baik kriket Malaysia dalam penampilan sulung Sukan SEA.

Malaysia menyambar emas kategori 50 overs pada Khamis lalu selepas mengatasi Indonesia untuk mengungguli liga sepusingan, meletakkan Singapura untuk pingat perak dan gangsa milik Thailand.

Bagaimanapun, impian skuad negara menggondol bersih emas terkubur selepas dihampakan dalam final kategori T20 oleh Singapura.

Daripada sudut positif, Shanker berbangga dengan sokongan yang diberikan penonton sepanjang pertandingan, dan beliau turut melahirkan keyakinan sukan kriket akan terus berkembang.

"Kami sebenarnya sudah membuktikan kepada orang ramai bahawa kami memiliki skuad yang kuat dengan meraih pingat gangsa, perak dan emas. 

"Jadi saya menyeru kepada pihak MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) memberi peluang kepada kriket untuk bertanding dalam kejohanan lebih besar," katanya.

Dalam saingan semalam, Singapura menang dengan 118 larian berbaki tiga wiket, untuk Malaysia sekadar berpuas hati dengan pingat perak, sementara Indonesia peroleh gangsa.

Sementara itu, pengurus skuad Singapura, Altaff Hussein, menyifatkan mereka akan kembali dengan lebih kuat untuk melakar sejarah dalam kategori T20.

"Saya rasa kami bukan cuba untuk membalas dendam, tetapi kami mahu mempamerkan kebangkitan. Saya mahu membuktikan kami bukan pasukan yang santai, sebaliknya menunjukkan kami mampu bangkit lebih kuat."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen