Malaysia mengesahkan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara kriket 50-overs apabila menduduki tangga teratas selepas mengatasi Indonesia dengan 251 larian di Kinrara Oval, petang tadi.

Kemenangan enam wiket ke atas Singapura malam tadi sebenarnya sudah meletakkan Malaysia dalam landasan emas.

Tiga emas ditawarkan dalam acara kriket dengan skuad wanita negara berdepan laluan berliku untuk menentukan juara apabila bakal berdepan cabaran Thailand, esok.

Ketua pasukan, Anwar Arudin, yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 162 larian, menyifatkan perlawanan terakhir ini juga persiapan untuk aksi T-20, Sabtu nanti.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah selepas berjaya mencatat kemenangan buat kali pertama dalam sejarah kriket dengan pingat emas, selepas ini kami menghadapi satu lagi perlawanan dalam T20.

"Kami mahukan batsmen menambah keyakinan dan itu strategi kami," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, R. Shankar, mengulas kejayaan ini adalah batu loncatan untuk sukan kriket Malaysia bagi melakar lebih banyak kejayaan.

"Kami berada di kedudukan ke-25 atau 26 dunia daripada 116 negara dan prestasi kini cukup mantap.

"Di peringkat Asia juga kami berada di kedudukan ke7 atau 8 jadi peluang untuk kami berkembang menjadi lebih besar," ujarnya.

Kredit Imej: MASOC Media

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.