Keputusan keseluruhan bagi 836 sampel ujian doping ke atas pemegang pingat Sukan SEA Kuala Lumpur hanya akan diketahui pada pertengahan bulan ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, berkata tempoh yang diperlukan itu mengambil kira bilangan acara yang dipertandingkan dalam saingan kali ini.

"Apabila semua perkara sudah sedia, termasuk laporan daripada makmal, barulah kami akan membuat kenyataan penuh mengenai perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan terdahulu, satu kes doping telah dikenal pasti, namun ia tidak melibatkan atlet Malaysia.

Tegas Tunku Imran, pengumuman keseluruhan hanya akan dibuat MOM selepas ujian ke atas baki 451 sampel dikenal pasti.

Sementara itu, beliau turut memuji prestasi atlet negara dalam Sukan SEA kali ini, terutama melibatkan sukan pertama kali yang dianjurkan, merujuk kepada sukan musim sejuk yang kini mampu membuka cabang baru buat negara.

"Kami mempunyai sukan baru, iaitu sukan musim sejuk, yang tidak tidak didengari sebelum ini. Ia adalah satu kejayaan daripada hoki ais dan juga luncur ais," katanya.