Biarpun Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru sahaja melabuhkan tirai, namun skuad memanah recurve negara tetap meneruskan sesi latihan seperti sedia kala dengan misi utama mereka adalah untuk membawa pulang pingat daripada Kejohanan Memanah Dunia di Mexico, bulan depan.

Khairul Anuar Mohamed dan Haziq Kamaruddin sudah pun mencubanya sejak 2011, ketika itu mereka bersama Cheng Chu Sian.

Namun, dengan momentum yang ditampilkan menerusi kemenangan pingat gangsa dalam Piala Dunia, Jun lalu, selain mempertahankan emas acara berpasukan dalam temasya KL2017, skuad recurve mengharapkan momentum itu dapat membuahkan keajaiban di Mexico nanti.

"Dalam memanah, Kejohanan Dunia adalah pertandingan yang lebih besar daripada Sukan Olimpik.

"Ini kerana hanya 12 pasukan yang layak beraksi dalam Olimpik tetapi Kejohanan Dunia biasanya akan disertai sekurang-kurangnya 36 pasukan," kata Khairul Anuar .

Buat Muhammad Akmal Nor Hasrin, biarpun akan membuat penampilan pertamanya dalam Kejohanan Dunia, dia sudah bersedia dan mula memperbaiki tekniknya sejak kegagalan dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Kejohanan Memanah Dunia dianggap misi penting kerana Malaysia belum pernah membawa pulang sebarang pingat daripada kejohanan itu.

"Ramai pemanah negara mula menunjukkan peningkatan dan saya mengharapkan persembahan itu dapat dikekalkan sehingga Kejohanan Dunia nanti," tambah Khairul Anuar.

Untuk memantapkan lagi persiapan, tiga pemanah itu bersama jurulatih, Lee Jae-hyung, akan berlepas ke Korea Selatan, 16 September ini untuk menjalani latihan intensif.