Kejohanan Jemputan Antarabangsa pentas pemanas badan untuk skuad bola keranjang 

Oleh Staff Writer 8 Jun 2017 172
Kejohanan Jemputan Antarabangsa pentas pemanas badan untuk skuad bola keranjang 
Kejohanan Jemputan Antarabangsa anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) minggu depan memberi peluang terbaik buat skuad lelaki dan wanita negara menguji kemampuan sejauh mana mereka bersedia menghadapi Sukan SEA, Ogos ini.

Sembilan pasukan dari lima negara akan menyertai kejohanan itu, dengan skuad lelaki menyasarkan untuk membentuk lebih keserasian.

Ini kerana jurulatih, Goh Cheng Huat, masih belum memutuskan siapa yang akan membarisi skuad utama meskipun kesemua 12 pemain hampir pasti akan membawa cabaran dalam temasya itu nanti.

Saingan lelaki menyaksikan Malaysia berdepan Universiti Kebangsaan Taiwan, Universiti Sains dan Teknologi Chung Ghou dari China dan kelab Australia, ACBA Dragons.

"Sebenarnya, saya menunggu kejohanan ini. Ia penting untuk skuad lelaki. Selepas SEABA (Kejohanan Asia Tenggara) bulan lalu, saya boleh melihat siapa pemain yang boleh tampil bersama pasukan Sukan SEA. 

"Saya menganggap jemputan ini sebagai satu cara untuk kami bermain di laman sendiri, bagaimana pemain menyesuaikan diri dalam gelanggang sendiri," kata Cheng Huat. 

Bagi skuad wanita pula, aspek penyudah masih menjadi keutamaan jurulatih, Yoong Sze Yuin, dalam menghadapi kejohanan ini.

Mereka yang mengharungi siri 10 perlawanan ujian di Jepun sebelum ini masih kurang sengat di bahagian penyudah di mana hanya tiga kemenangan dapat dilakar di sana.

"Kejohanan ini bagus untuk pemain saya bersedia dan ia sebenarnya aksi pemanas badan. Ia untuk melihat bagaimana mereka beraksi, bagaimana mereka belajar dalam beberapa bulan ini, bagaimana kemajuan mereka. Itu objektifnya," kata Sze Yuin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen