Pasukan kumite berpasukan wanita negara membuktikan kewibawaan sebagai jaguh Asia Tenggara selepas menyumbangkan emas ketujuh negara dalam acara karate yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Malaysia yang diwakili Syakilla Salni Jefri Krishnan, S. Shree Sharmini, M. Mathivani serta P. Madhuri ketika berdepan Vietnam itu, menyaksikan Syakilla yang turun selaku peserta pertama tumpas kepada lawan.

Namun, peluang pasukan negara kembali dihidupkan apabila Mathivani menghadirkan kemenangan 3-1 dalam pertarungan kedua.

Shree Sharmini muncul wira pasukan dengan pertarungan yang cukup baik dalam aksi penentuan bagi memastikan emas memihak kepada Malaysia sekaligus mengulangi pencapaian edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar.

Bagi Syakilla, yang meraih emas kedua peribadi di pentas Kuala Lumpur 2017, dia lega kerana berjaya mempertahankan status yang diraih dalam edisi sebelum ini.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana berjaya meraih tujuh emas secara keseluruhan. Kami telah berjaya mempertahankan emas yang dimenangi dalam edisi sebelum ini," katanya.

"Dalam perlawanan individu, saya tewas kepada atlet Vietnam tetapi telah berjaya bangkit untuk memastikan kami tidak tewas dalam acara berpasukan," ujar S. Shree.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.