Penantian skuad judo negara untuk meraih pingat emas di pentas Sukan SEA Ke-29 berterusan apabila taruhan utama, Chong Wei Fu, terkandas dalam halangan terakhir bawah 66 kilogram lelaki., semalam.

Raut wajah Wei Fu sejurus pertemuannya dengan Mohammad Syaiful Raharjo dari Indonesia menceritakan segala-galanya.

Sudah pasti kekecewaan kali ini lebih perit kerana begitu hampir untuk menamatkan penantian selama 31 tahun untuk Malaysia kembali meraih emas dalam acara judo.

Nyata, Syaiful lebih bijak memanfaatkan peluang untuk menghukum Wei Fu bagi memastikan emas memihak Indonesia.

Begitupun, Wei Fu seharusnya boleh berasa bangga kerana persembahan kali ini mengatasi pencapaiannya dua tahun lalu di Singapura yang menyaksikannya meraih gangsa.

"Saya amat kecewa dengan diri sendiri kerana sudah lama sukan judo negara tidak menang emas. Saya memang inginkan emas ini," kata Wei Fu.

Turut tidak mengecewakan, dua lagi judoka negara, Mohd Farhan Uzair Mohd Fikri, yang menewaskan peserta Thailand, Thiti Kumpapan, juga dalam aksi repechage untuk mengulangi pencapaian gangsa yang dilakukannya dalam edisi dua tahun lalu.

"Saya menyasarkan aksi final tetapi pada saat akhir, saya melakukan kesilapan berdepan Indonesia, jadi saya lakukan terbaik untuk gangsa ketika berdepan Thailand," ujar Farhan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.