Gimnas negara, Chou Jern Rong, bersedia melupakan duka peribadi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan memastikan dia menutup musim ini sebagai raja palang tunggal negara dalam Kejohanan Terbuka Malaysia.

Jern Rong adalah antara individu yang menyumbang kepada kejayaan skuad negara menamatkan kemarau pingat 12 tahun Malaysia dalam acara berpasukan dalam temasya KL2017 dengan mengutip pingat perak.

Bagaimanapun, dia terpaksa berputih mata apabila pulang dengan tangan kosong dalam acara individu.

Senario itu menghantuinya sepanjang tempoh rehat yang diberikan barisan kejurulatihan negara.

"Cuti panjang kerana kami berlatih dengan keras sebelum Sukan SEA, termasuk ketika hari raya. Tahniah kepada rakan sepasukan kerana berjaya meraih pingat emas.

"Sudah tentu saya kecewa tetapi saya perlu menerima hakikat itu dan berlatih lebih kuat untuk kembali lebih kuat," katanya.

Jern Rong dan rakan sepasukan dijadualkan untuk melaporkan diri bagi latihan pusat pada 20 September ini bagi memulakan kitaran untuk menghadapi musim 2018.

Dia yang menjadi antara penerima insentif kejayaan Sukan SEA daripada kerajaan negeri Selangor, bagaimanapun, mahu menamatkan 2017 dengan kejayaan manis dengan mempertahankan kejuaraan palang tinggi Terbuka Malaysia yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

"Kami akan kembali menyertai latihan pada 20 haribulan ini. Kami perlu menjaga berat badan dan menguatkan lagi tubuh badan. Seterusnya, kami perlu mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia," tambah Jern Rong.